Saturday, June 11, 2016

Kejayaan?

Kalau nak berjaya, mesti usaha! Tapi ingat ya, kekadang kita usaha  tidak semestinya akan berjaya selamanya, ada masa jatuh? Kenapa jatuh? Pasti ada silap disebalik usaha kau! 
Terlampau kejar kan kejayaan, tetapi akhirat lupa? 
Doa, solat, tawakal dan redha ibu bapa kita yang paling kau mesti ingat selama-lamanya! 
Di rumah mak ayah kita la ibubapa kita,
Di sekolah guru-guru lah ibu bapa kita,
Di universiti pensyarah lah ibu bapa kita
Di asrama, warden la ibu bapa kita
So, hormatlah insan-insan  disekeliling kita selagi mereka masih ada di dunia ini! 
Dengan redha ibu bapa, doa, solat, usaha, tawakal inn shaa Allah berjaya fil dunia walakhirat :)
Tepuk dada, tanya iman!

coretan:-
aliahilias.....

Thursday, June 9, 2016

elemen komunikasi :)

         Komunikasi berasal dari bahasa Latin communicatio yang bermaksud pemberitahuan.  Apabila membincangkan maksud komunikasi, pelbagai pendapat atau pihak yang akan mentafsirkan mengikut kefahaman masing - masing.  Menurut pandangan Harold Lasswell, komunikasi merupakan proses yang menggambarkan siapa mengatakan apa dengan cara apa, kepada siapa dengan kesan apa.  Walau bagaimanapun, komunikasi wujud disebabkan proses komunikasi.  Dalam konteks ini, kehadiran elemen-elemen komunikasi secara umumnya dapat dikenal pasti melalui proses komunikasi dimana ianya berlaku ketika menyampaikan informasi sehingga difahami oleh penerima serta melalui model-model proses komunikasi.  Antara elemen komunikasi yang akan di bincangkan dalam bahagian ini ialah sumber (source), penerima (receiver), saluran (channel), mesej (message) dan maklum balas (feedback).

         Sumber merupakan antara salah satu elemen komunikasi yang menyebabkan berlakunya proses komunikasi.  Secara umumnya, sumber adalah seseorang yang membuat keputusan untuk berkomunikasi dan sering disebut juga sebagai pengirim (sender).   Menurut Claude Shannon dan Weaver, sumber sebagai elemen komunikasi yang di tukar kepada simbol atau isyarat iaitu enkoder sebelum di salurkan kepada penerima.  Lantas pendapat lain dari  Aristotle, sumber merupakan elemen yang cuba mengaitkan propaganda politik yang diamalkan bergantung kepada kemahiran retorik komunikator untuk mempengaruhi penerima. Menurut model Lasswell pula, sumber lebih menjurus kepada pengucapan seseorang individu kepada sekelompok manusia.  Dalam kata lain, sumber adalah punca segala maklumat.  Di dalam komunikasi antara manusia, sumber ini boleh terdiri di antara individu mahupun dalam bentuk kumpulan. Contohnya, lembaga atau organisasi. Walaubagaimanapun, sumber juga boleh diaplikasikan dalam penggunaan komunikasi data. Sumber dalam data tersebut adalah alat yang membangkitkan data atau maklumat yang akan dipindahkan dan merupakan alat input pada komputer.  Alat atau komponen ini dapat mengubah informasi audio, video atau teks menjadi satuan data untuk di proses pada sistem komputer.


         Penerima pula merupakan orang yang menjadi sasaran mesej.  Penerima terdiri daripada individu, kumpulan dan organisasi.  Dalam komunikasi antara manusia, penerima merupakan pihak yang penting dalam membentuk kesefahaman supaya komunikasi antara mereka berkesan.  Malah, jika mesej tidak disampaikan kepada penerima maka komunikasi tidak akan terjadi. Menurut pandangan Lasswell, penerima mesej merupakan bersifat pasif dan menerima ataupun menolak sebarang mesej yang disampaikan.  Pada pandangan Claude Shannon dan Weaver, penerima akan menukarkan simbol iaitu dekoder yang diterima mengikut kefahamannya. Berlo pula mengatakan, penerima mesej bergantung kepada persamaan kemahiran komunikasi tentang sikap dan tahap pengentahuan.  Dalam hal ini, penerima bersifat selektif dalam membuat pilihan terhadap saluran dan mesej.  Penerima boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang untuk proses secara berkomunikasi. Misalnya, berkomunikasi dalam melakukan  aktiviti pameran perniagaan. Pameran adalah salah satu komunikasi yang penting untuk menghubungkan organisasi perniagaan dengan masyarakat umum dalam menyampaikan maklumat atau informasi  kepada penerima.

         Selain itu, mesej juga merupakan salah satu elemen yang wujud dalam proses komunikasi.  Secara umumnya, mesej merujuk pada maklumat yang ada pada minda manusia untuk dihantar kepada penerima.  Seperti mana pandangan yang diutarakan oleh Berlo, beliau berpendapat bahawa mesej yang diterima bergantung kepada kandungan, struktur dan juga gaya penyampaiannya.  Mengikut model Huseman, Lahiff dan Penrose, sesuatu mesej yang dekodkan hendaklah memberi penekanan kepada mesej yang tepat, kesesuaian, mudah difahami, penyusunan, pengulangan dan berfokus.  Hal ini bertujuan untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan. Sanford, Hunt dan Bracey pula berpendapat mesej yang disampaikan bertujuan atau tanpa tujuan dan sama ada mesej tersebut berbentuk lisan atau tanpa lisan adalah penyesuaian yang melengkapi keberkesanan komunikasi.  Secara tidak langsung, mesej sebenarnya merupakan utusan dan informasi dalam proses komunikasi mengikut kefahaman tersendiri.  Misalnya penduduk wanita di Iran memakai jubah hitam bagi menutup aurat apabila berada di khalayak ramai. Namun, di negara Eropah misalnya wanita dibenarkan berpakaian bebas. Oleh itu, secara langsung pemahaman mesej oleh khalayak terhadap masyarakat lain daripada budayanya adalah berbeza. Ini bermakna dibuat oleh individu adalah berbeza mengikut budaya dan kepercayaan masing-masing.

         Saluran pula merupakan alat atau  perantara yang berkemampuan menyalurkan mesej daripada sumber kepada penerima.  Pemilihan saluran dalam komunikasi memainkan peranan penting kerana ia menyumbang kepada kejelasan dan ketepatan maklumat komunikasi.  Menurut model Claude Shannon dan Weaver, beliau mengandaikan saluran mesej terdapat beberapa gangguan. Walaupun begitu, mesej yang disalurkan akan diterima oleh penerima mengikut tafsiran tersendiri.  Lantas pendapat Berlo pula, saluran mesej yang berkesan bergantung kepada kesesuaian pancaindera yang sedia ada pada manusia.  Huseman, Lahiff dan Penrose pula membahaskan saluran perlu digunakan dengan bijak oleh seseorang komunikator yang berkesan sama ada berbentuk rasmi atau tidak rasmi.  Penggunaan saluran yang bersesuaian seperti alat media massa atau bahan ilmiah dengan tujuan sesuatu mesej itu disampaikan membolehkan mesej itu difahami dengan jelas dan cepat diperolehi oleh penerima. 

         Maklum balas merujuk pada reaksi penerima apabila menerima sesuatu mesej daripada sumber.  Maklum balas boleh dalam bentuk lisan atau simbol bukan lisan.  Berdiam diri juga salah satu contoh dalam bentuk maklum balas seseorang individu tersebut.  Menurut model Huseman, Lahiff dan Penrose, mereka mengandaikan bahawa maklum balas yang berkesan akan wujud sekiranya kedua-dua komunikator mempunyai penafsiran makna yang sama serta terdapat tahap perkongsian maklumat yang tinggi.  Berlo pula berpendapat bahawa proses komunikasi yang berkesan berlaku sekiranya interaksi tersebut melibatkan unsur maklum balas atas dasar lapangan pengalaman yang sama atau hampir sama. Dalam memastikan proses komunikasi berjalan dengan lancer, kebiasaannya maklum balas yang diberi oleh penerima akan  mengemukakan soalan-soalan atau memberi jawapan sama ada daripada penghantar atau penerima.  Sebagai contoh, Butik Amani telah mengiklankan keberkesanan penggunaan pemakaian kain lycra kepada penerima. Hasil daripada pengiklanan tersebut ramai penerima telah membuat tempahan baju tersebut.  Ini bermakna mesej yang disampaikan dapat menambat hati penerima. Jika sebaliknya, sekiranya hasil jualan tidak meningkat, ini bermakna maklum balas yang negatif telah berlaku.  Walau bagaimanapun, maklum balas penting dalam menentukan keberkesanan mesej dalam proses komunikasi.

          Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa proses komunikasi akan berjalan dengan baik, sekiranya sumber dan penerima memainkan peranan penting dalam komunikasi.  Sesungguhnya, elemen komunikasi sangat  penting dalam kehidupan seharian kita untuk berhubung dan melaksanakan sesuatu tugas pada masa  kini.  Perkembangan dan perubahan dalam teknologi telekomunikasi dalam dunia hari ini, menunjukkan pelbagai inovasi yang dihasilkan sehingga membolehkan berkomunikasi dengan jarah yang jauh.  Jadi, elemen-elemen komunikasi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan seharian seseorang individu tersebut.